SHAH ALAM 16 Mei – Polis telah membuka kertas siasatan berhubung insiden seorang kanak kanak perempuan yang ditemukan berjalan seorang diri di tepi jalan raya di Puncak Alam Fasa 2, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kertas siasatan dibuka berikutan pihaknya menerima laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Sungai Buloh semalam.
“Kita kini sedang dalam perancangan untuk memanggil keluarga kanak-kanak ini. Namun, keluarga kanak kanak ini boleh tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak kanak 2001(kesalahan kerana membiarkan kanak kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, tular di laman sosial video seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang berjalan seorang diri dan cuba melintas jalan utama namun diselamatkan seorang penunggang motosikal.
Malah, tindakan pantas penunggang motosikal itu menyelamatkan kanak-kanak itu yang nyaris dilanggar lori apabila pemuda itu membunyikan hon untuk memberi amaran kepada kenderaan berat tersebut.
Kanak-kanak itu juga memaklumkan ibunya pergi bekerja, manakala bapanya pula sedang tidur di rumah.
Video berdurasi 7 minit 32 saat itu turut memaparkan situasi di lokasi kejadian sehingga kanak-kanak perempuan terbabit diserahkan kepada bapanya. – UTUSAN ONLINE











