AMSTERDAM 8 Mei-Tottenham Hotspur menerima perkhabaran gembira apabila tonggak pertahanannya, Jan Vertonghen dan pemain sayap Korea Selatan, Son Heung-min disahkan cergas untuk turun beraksi dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) menentang Ajax, pagi esok.
Pengendali Spurs, Mauricio Pochettino mengesahkan perkara berkenaan dalam sidang media pra perlawanan sekali gus bakal menambah kekuatan buat pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengatasi defisit 0-1.
Pemain Belgium itu cedera di bahagian hidung selepas berlaga kepala dengan rakan sepasukan Toby Alderweireld ketika Spurs dikejutkan 0-1 dalam saingan EPL menentang Bournemouth, Sabtu lalu.
“Dia (Vertonghen) tidak mengalami sebarang masalah cuma luka di hidung saja. Saya rasa dia cergas untuk diturunkan,” katanya.
Tottenham, yang turun tanpa tonggak utama, Harry Kane, berdepan tugas besar untuk mara ke final namun kembalinya Heung-min menguatkan jentera serangan memberi harapan kepada mereka untuk mencipta kejutan di Arena Johan Cruijff.
Pemain sayap Korea Selatan itu muncul wira Spurs dalam aksi suku akhir yang memadamkan impian Manchester City, kembali bermain selepas digantung satu perlawanan .
Pochettino mengakui situasi itu membolehkan anak buahnya beraksi dengan bebas tanpa tekanan berbanding perlawanan separuh akhir pertama dan pastinya akan mengikut jejak Liverpool yang tidak putus asa melawan hingga mampu mara ke final walaupun ketinggalan 3-0 di tangan Barcelona.
“Keputusan negatif dalam aksi pertama (di Tottenham) sememangnya menjadikan ia sukar tetapi peluang masih terbuka,” ujarnya. – AFP











