JEMPOL 12 Mei – Sebuah pintu gerbang roboh selepas tersangkut pada jentolak yang diangkut oleh sebuah lori treler di Felda Palong 3 di sini hari ini.
Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah hari ketika lori treler yang mengangkut jentolak itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala Felda Palong 3.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, jentolak yang berada di atas lori treler tersangkut pada bumbung pintu gerbang.

“Pintu gerbang itu roboh lalu menghempap treler dan jentolak berkenaan.
“Bagaimanapun, lelaki yang memandu treler itu tidak mengalami kecederaan. Kejadian turut tidak melibatkan kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhd Nur Hishamuddin berkata, kejadian disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah- Kaedah Lalu Lintas 1959. – UTUSAN ONLINE










