TEMERLOH – Takut ditangkap kerana dikatakan terlibat jenayah pengubahan wang haram, seorang pesara kerajaan di sini kerugian RM47,600 selepas diperdaya polis palsu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 59 tahun itu dihubungi individu tidak dikenali melalui telefon rumah pada 8 Mei lalu.
“Suspek pertama menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia dan mendakwa talian telefon di rumah mangsa telah digunakan untuk tujuan perjudian haram.
“Perbualan tersebut disambungkan pula kepada seorang lelaki menyamar polis dan mendakwa mangsa terlibat jenayah pengubahan wang haram,” katanya.
Mohd. Wazir menambah, mangsa seterusnya diarahkan membuat pemindahan wang melalui 11 transaksi ke dalam tiga akaun bank milik individu tidak dikenali.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memaklumkan kejadian itu kepada anaknya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam,” tambahnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











