Pertembungan kem Tun M-Muhyiddin Yassin, Bersatu ibarat retak menanti belah - Utusan Malaysia

Pertembungan kem Tun M-Muhyiddin Yassin, Bersatu ibarat retak menanti belah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 3 Mei – Pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad tentang pelantikan Mazlan Bujang dilantik sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang baharu pada minggu ini jelas merupakan tamparan hebat dan memberi kesan kepada air muka serta kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu amat memeranjatkan kerana sebelum ini Muhyiddin sudah memaklumkan akan mengumumkan Pengerusi Bersatu Johor yang baharu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bekas Menteri Besar itu berkata, namun keputusan Dr. Mahathir yang mengumumkan terlebih dahulu Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor memperlihatkan tiadanya persefahaman malah wujud perpecahan dan konflik berkepentingan dalam kepimpinan Bersatu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengumuman tersebut bukan sahaja tidak meredakan spekulasi tentang perpecahan dan isu dalaman Bersatu Johor khususnya antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr. Mahathir, malah, menguatkan lagi sangkaan kita selama ini.

“Lebih-lebih lagi, Pengerusi yang baharu ini dikatakan calon daripada pasukan atau kem yang dianggap tidak menyebelahi pasukan yang menerajui Kerajaan Negeri Johor sekarang dan yang nyata memihak serta berada di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua ini sekali gus menyerlahkan bahawa Bersatu Johor benar-benar sudah terbahagi kepada beberapa kem atau pasukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, biar apa pun alasan dan jawapan Dr. Mahathir atau Muhyiddin, apa yang jelas kepada masyarakat adalah Bersatu Johor sedang mengalami satu krisis dalaman dan perpecahan yang tidak dapat disembunyikan lagi, ibarat retak menanti belah.

Beliau berkata, sebelum ini ramai benar-benar menyangka bahawa penukaran Menteri Besar Johor hanya berpunca daripada kegagalan Datuk Osman Sapian menjalankan amanah dengan cemerlang serta kekecewaan masyarakat terhadap pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Rupa-rupanya kata beliau, penukaran tersebut ibarat membuka pekung di dada yang secara tidak langsung turut membongkar lebih banyak isu dalaman Bersatu Johor.

“Selaku Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini melantik Datuk Osman Sapian sebagai Pengerusi BersatuJohor. Namun, susulan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Johor, pelantikan pengerusi yang seterusnya tidak sunyi dari spekulasi dan perselisihan.

“Jangkaan semua pihak adalah mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun Pusat akan menjadi calon yang berkemungkinan diangkat mengepalai Bersatu Johor,” katanya.

Justeru katanya, bagi meredakan spekulasi dan khabar angin, Muhyiddin memaklumkan bahawa pengumuman Pengerusi Bersatu Johor akan dilakukan oleh beliau tidak lama lagi tetapi secara tiba-tiba diumumkan Perdana Menteri pula yang juga Penasihat Bersatu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini