KUALA LUMPUR 15 Mei – Ketua Polis Negara menyeru orang ramai supaya bersikap rasional dalam apa sahaja tindakan mereka untuk memperjuangkan hak kaum, agama dan sebagainya di negara ini.
Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, semua pihak perlu mengambil sikap bersederhana bagi mengelakkan sebarang situasi yang boleh mencetuskan provokasi sehingga menjurus kepada sesetengah individu mengambil tindakan ekstrem dan radikal dalam pendirian mereka.
“Kita akan ambil tindakan tegas terhadap semua tindakan keganasan tidak kira latar belakang agama, politik dan kaum.
“Tiada satu kaum pun boleh menidakkan hak satu kaum yang lain seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan namun masih ada manusia tidak bertanggungjawab yang suka memainkan isu sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permintaan Hindraf supaya mempertimbangkan untuk menyediakan perlindungan keselamatan tambahan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.
Perkara itu disuarakan dalam satu kenyataan, semalam selepas sidang akhbar Ketua Polis Negara mengenai pengganas yang ditahan awal bulan ini mempunyai niat untuk membunuh beberapa personaliti berprofil tinggi berikutan dakwaan kononnya mereka gagal menyemangati Islam dan mempersendakan agama itu.
Terdahulu, Abdul Hamid menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Selain itu, Datuk Saiful Azly Kamaruddin menerima tugas sebagai pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman. – UTUSAN ONLINE











