KUALA LUMPUR 13 Mei – Ekologi politik negara menuju ke arah ke belakang iaitu berasaskan perkauman yang lebih buruk berbanding semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, jika dahulu UMNO dan Pas sering membangkitkan isu agama Islam serta bumiputera, tetapi ia diimbangi dengan kehadiran MCA, tetapi situasi semasa tidak sebegitu.
Kata beliau, situasi terkini telah semakin buruk apabila Bersatu dan Amanah kini dilihat cuba mengambil peranan Pas dan UMNO, tetapi pada masa yang sama DAP hanya mendiamkan diri demi kelangsungan parti itu.
“Jika dahulu isu perkauman yang menjadi topik kegemaran DAP, tetapi kini mereka mendiamkan diri semata-mata untuk memastikan mereka tidak kehilangan sokongan.
“Situasi ini menyebabkan para pemimpin Amanah dan Bersatu masing-masing mahu tampil sebagai juara untuk mengambil alih peranan UMNO serta Pas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Lian Ker, sebaliknya kini UMNO dan Pas sendiri sedang mengubah retorik politik mereka supaya menjadi lebih inklusif untuk memenangi sokongan golongan pertengahan dan warta kota.
Sehubungan itu, kata beliau, perlu pihak ketiga untuk tampil memainkan peranan meletakkan kembali ke landasan yang betul supaya harapan rakyat mahukan kerajaan yang lebih baik tidak tergelincir.
“Sekurang-kurangnya semasa di dalam kerajaan dahulu, saya memilih untuk bercakap tentang isu berkenaan serta berdepan dengan UMNO serta Pas, walaupun sedar akan hilang undi daripada orang Melayu,” katanya.
Kata Lian Ker, DAP telah diam mengenai banyak isu yang berkaitan dengan kaum dan agama kerana sensitiviti perkara itu.
“DAP telah memutuskan untuk tidak menyentuh isu yang sensitif ini kerana mereka sudah berkuasa dan tidak mahu menjejaskan sokongan majoriti bumiputera,” katanya.
Malah, Lim Kit Siang, kata beliau, telah bertindak memisahkan diri daripada isu ini untuk mengelak daripada kehilangan sokongan pengundi kelas menengah.
“Oleh itu kini masa yang tepat untuk kemunculan pihak ketiga yang terdiri daripada profesional yang berdedikasi dan berkomitmen yang mempunyai otak dan keberanian untuk membawa perubahan yang dikehendaki dan memacu ekonomi negara ke hadapan,” katanya.











