KUALA LUMPUR 23 Mei – Ibu bapa atau penjaga dipelawa membuat pemeriksaan kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum pulang bercuti ke kampung dalam sesi #PitStopCheck di pusat beli-belah Aeon Nilai, Negeri Sembilan, Ahad ini.
Program anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan kerjasama Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) bersempena pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kebangsaan 2019.
Penganjur dalam kenyataan memaklumkan, program akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 4 petang dan turut menempatkan pelbagai gerai pameran berkaitan aspek keselamatan.
“Kami akan bantu pengunjung mengetahui cara pemasangan yang betul dan selamat selain mengenal pasti sebarang kesalahan cara penggunaan atau ciri-ciri tidak selamat.
“Tiada sebarang pendaftaran diperlukan dan tiada bayaran bagi pengunjung yang datang membuat pemeriksaan,” katanya.
Selain itu, terdapat juga pemeriksaan kenderaan dan motosikal, pertukaran topi keledar dan simulasi latihan kecemasan kemalangan jalan raya. – UTUSAN ONLINE











