GAZA 7 Mei – Ratusan rumah penduduk Palestin musnah dalam serangan udara dilancarkan tentera rejim di Genting Gaza sejak Jumaat lalu, mengakibatkan banyak keluarga kehilangan tempat tinggal sekali gus menjejaskan mood sambutan bulan Ramadan.
Lapor portal Haaretz, konflik selama tiga hari itu mengakibatkan kerugian sekurang-kurangnya AS$5 juta (RM20.7 juta) berdasarkan penilaian awal beberapa jam selepas gencatan senjata dicapai kedua-dua pihak.
Menurut Pengarah Kementerian Buruh di Gaza, Naji Sarhan semalam, sebanyak 130 buah rumah musnah sepenuhnya manakala 700 lagi premis rosak sebahagiannya.
Pada masa sama, kawasan tentera dan kemudahan awam milik Palestin yang diserang rejim sewajarnya tersenarai dalam angka kemusnahan tersebut.
“Di samping mencari alternatif perumahan, terdapat keluarga yang memerlukan bantuan segera seperti bekalan kemanusiaan dan asas,” kata Sarhan.
Sementara itu, pertubuhan Al Mezan Center for Human Rights yang memantau kerosakan akibat perang tersebut mendapati, konflik tiga hari berkenaan adalah terburuk sejak perang pada 2014.
Pada ketika itu, sebanyak 12,000 buah rumah musnah namun hanya 9,700 unit berjaya dipulihkan semula setakat ini.
Selain itu, syarikat bekalan elektrik di Gaza turut memaklumkan berlaku kerosakan teruk terhadap rangkaian elektrik.
Selain itu, nelayan di Khan Yunis memberitahu kerosakan berlaku terhadap bot dan pelabuhan.
Lapor Maan News, sebanyak 13 buah sekolah di Genting Gza rosak teruk akibat perang yang meragut nyawa 27 orang penduduk Palestin selain mencederakan sekurang-kurangnya 154 orang.
Kementerian Pendidikan Palestin di Gaza berkata, tingkap dan pintu di 13 buah sekolah rosak sama sekali serta dinding bangunan retak ketika serpihan peluru berpandu dan bangunan memasuki bilik darjah.
Perang itu turut menyaksikan rejim Zionis bukan sahaja menyekat serangan siber dilancarkan sekumpulan penggodam Hamas, bangunan tempat mereka beroperasi turut dibedil tentera Israel.
Sementara itu, penduduk Gaza menggunakan kesempatan gencatan senjata untuk mengebumikan mangsa yang terbunuh akibat serangan Israel. – AGENSI











