Perak bakal bentangkan cadangan umur minimum perkahwinan - Utusan Malaysia

Perak bakal bentangkan cadangan umur minimum perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kerajaan negeri Perak akan membentangkan cadangan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu akan dibentang dan dibahaskan dalam sidang DUN sebelum pindaan enakmen serta kelulusan undang-undang sedia ada dilakukan.

“Kalau sempat sidang DUN pada Julai depan kita akan bentangkan usul itu. Pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan kerajaan persekutuan untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Buku Panduan Keselamatan dan Perlindungan Diri Kanak-kanak negeri Perak yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Wong May Ing di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan semua kerajaan negeri untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun untuk orang Islam dan bukan Islam.

Mengenai buku panduan itu, Ahmad Faizal berkata Perak merupakan negeri pertama menerbitkan naskah panduan pencegahan penderaan fizikal, mental dan seksual terhadap kanak-kanak serta golongan remaja.

Beliau berkata, buku itu diterbitkan sebagai panduan bagi mengenal pasti langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan kes penderaan ke atas kanak-kanak yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini