KUANTAN – Kumpulan peragut bermotosikal Honda EX5 berwarna biru yang aktif menyamun di daerah ini sejak Mac lalu akhirnya ditangkap polis melalui serbuan pada 23 dan 24 April baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Noor Yusuf Ali berkata, empat suspek ahli Geng Panjang termasuk seorang wanita berkenaan ditahan melalui tiga operasi berbeza.
“Suspek pertama ditahan pada pukul 3 petang, 23 April lalu semasa dilihat menunggang motosikal tersebut berhampiran sebuah restoran di Jalan Bukit Ubi.
“Penahanan itu membawa kepada penangkapan seorang lelaki dan seorang wanita di sebuah bilik sewa pada pukul 3.30 petang, 24 April di Jalan Bukit Ubi di sini.
“Kira-kira pukul 5 petang pada hari yang sama, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Tengah di sini dan menahan ketua kumpulan tersebut yang dipanggil Panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini hari ini.
Penahanan kumpulan suspek berusia 23 hingga 37 tahun itu membawa kepada penemuan sebilah parang serta kapak dan dua bilah pisau yang dijadikan senjata semasa menyamun di daerah ini.
Tambah beliau lagi, pihaknya turut merampas barang samun termasuk 13 unit telefon pintar pelbagai jenama yang dianggar keseluruhan bernilai RM10,000. – K! ONLINE











