BANGI – Dua penjenayah terpaksa berputih mata selepas cubaan mereka meletupkan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Wisma Unikeb, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini semalam tidak berjaya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.07 malam daripada seorang anggota Polis Bantuan yang memaklumkan tentang kejadian.
“Siasatan awal yang dilakukan mendapati, kedua-dua suspek lelaki yang memakai topeng ski telah masuk ke dalam sebuah bank di wisma tersebut pada pukul 7.53 petang dan meletupkan lapisan pertama mesin ATM berkenaan.
“Suspek kemudiannya meletupkan mesin berkenaan sekali lagi pada pukul 7.55 petang namun gagal memecahkan lapisan kedua mesin tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Ahmad Dzaffir, setelah menyedari tidak berjaya memecahkan mesin ATM berkenaan, kedua-dua suspek kemudiannya bertindak melarikan diri pada pukul 7.57 petang dengan menaiki sebuah kereta.
“Siasatan berhubung kejadian masih dilakukan dan Unit Pemusnah Bom sedang di dalam proses mengenalpasti jenis bahan letupan yang digunakan dalam kejadian ini.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Salena Mhd. Sallehudin di talian 0176424007.
Jelas Ahmad Dzaffir, kes kini disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











