Pengsan tiba-tiba tanda penyakit kronik? - Utusan Malaysia

Pengsan tiba-tiba tanda penyakit kronik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA banyak istilah yang dilabelkan untuk masalah kesihatan ini. Gelap mata, pitam atau pengsan. Pada peringkat permulaan, seseorang mungkin rasa pening-pening tanpa disedari tiba-tiba dia jatuh pengsan. Apapun istilah yang dikaitkan dengan keadaan tersebut, ia ialah satu fenomena biasa.

Walaupun lazimnya ia bukanlah sesuatu yang begitu berbahaya, namun individu yang pengsan terdedah kepada kecederaan. Adakalanya juga petanda bahawa seseorang mempunyai masalah sistem kardiovaskular.

Pengsan atau dikenali sebagai sinkop berlaku apabila otak mengalami penurunan bekalan darah secara tiba-tiba ekoran tekanan darah atau degupan jantung merudum. Seseseorang yang pengsan berkemungkinan adalah petanda dia menghidap penyakit serius seperti sakit dada, dispnea atau sukar bernafas, masalah jantung seperti palpitasi dan sakit kepala yang teruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain itu, mereka juga mungkin menderita disartria (pertuturan yang kurang jelas), diplopia (penglihatan berganda), ataksia (hilang kawalan pada koordinasi tubuh) dan fokal neurologik (gejala kerosakan pada saraf tunjang atau fungsi otak yang menjejaskan sesetengah bahagian tubuh).

Menurut Pakar Neurologi, Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Sathindren Santhirathelagan, sinkop merujuk keadaan seseorang yang sebelum itu dalam keadaan normal secara tiba-tiba tidak sedar dan rebah. Secara takrifan sinkop tidak diiringi dengan apa-apa gejala atau amaran dan berlaku secara mendadak. Merupakan susulan kepada kekurangan darah dan oksigen yang sampai ke otak dan hasilnya otak gagal mengekalkan tahap kesedaran seseorang.

“Biasanya berlaku akibat tekanan darah yang menurun secara tiba-tiba. Ini boleh disebabkan oleh kurang kandungan sel merah darah (anemia) atau kurang air dalam darah seperti ternyahidrat (dehydration) sekiranya cirit-birit, muntah atau berpeluh keterlaluan. Ada juga hubungan keadaan ini dengan kandungan garam (sodium) yang terlalu kurang dalam badan.

“Ada juga keadaan berlaku ketika berdiri atau duduk untuk jangka panjang dalam posisi sama yang mengakibatkan darah bertakung di bahagian kaki justeru tiada darah yang cukup dalam jantung untuk dikitarkan ke otak lantas otak tidak dapat berfungsi dan sebagai tindak balas pesakit hilang kesedaran dan rebah. Sebaik saja rebah, darah dari kaki lebih mudah kembali ke jantung dan paru-paru,” jelasnya.

Berikutan itu, darah beroksigen baharu akan sampai ke otak dan pesakit akan sedar semula dengan kadar segera. Kadang-kadang tekanan boleh menyebabkan gangguan ini akibat perut kosong atau keadaan takut atau geli seperti melihat keadaaan ngeri seperti kemalangan, penyembelihan haiwan atau melihat darah.

Namun, biasanya tiada tanda sebelumnya. Bagaimanapun ada kalanya pesakit boleh merasa ganjil seperti merasai gelap gelita dalam beberapa detik sebelumnya. Tiada gerakan sawan tetapi kadang-kadang beberapa pergerakan anggota yang mengejut boleh dilihat untuk beberapa ketika. Jarang sekali, pesakit dilihat terkencing atau terbuang air besar tanpa disedari tetapi gejala ini lebih menjurus kepada sawan (epilepsy) dan bukan sinkop (pengsan biasa).

Mengulas tentang rawatan, beliau menjelaskan, pesakit perlu diperiksa terlebih dahulu sama ada pernafasan dan denyut nadinya teratur atau sempurna. Sekiranya tidak, segeralah dapatkan rawatan kecemasan. Jika pernafasan dan nadi teratur, pesakit dibiarkan dalam keadaan berbaring sekiranya persekitaran selamat dan sekiranya tidak selamat seperti di jalan raya atau tepi air, dipindahkan juga dalam keadaan berbaring.

KAKI pesakit dinaikkan ke atas paras dada dan dikekalkan begitu untuk 10 minit.
KAKI pesakit dinaikkan ke atas paras dada dan dikekalkan begitu untuk 10 minit.

Tambah Dr. Sathindren, kaki pesakit dinaikkan ke atas paras dada dan dikekalkan begitu untuk tempoh 10 minit. Biasanya pesakit akan sedar sendiri. Pesakit seharusnya terus berbaring dan dibenarkan duduk dan berdiri secara perlahan dan bertahap, bukan mendadak. Apabila sedar, berikan air minuman bergula dan bergaram (isotonik) sekiranya ada. Tenangkan pesakit dan jangan membuat pesakit itu lebih cemas dengan tingkah laku orang sekeliling.

“Penyakit ini boleh dicegah dengan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mereka yang cenderung terkena gangguan ini. Pastikan jangan berdiri atau duduk untuk jangka waktu berpanjangan di posisi sama. Sentiasa mengerakkan kaki dan betis untuk merangsangkan aliran darah.

“Selain itu, pastikan banyakkan senaman dan amalkan pemakanan sihat serta meminum air banyak. Sekiranya garam darah rendah, tambah sedikit garam dalam makanan atau mengambil cecair isotonik. Elakkan keadaan ternyahhidrat dan dapatkan rawatan awal jika cirit-birit atau muntah keterlaluan. Jangan mudah cemas dan elakkan melihat keadaan ngeri sekiranya tidak tahan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini