SEREMBAN 27 Mei – Seramai 53 pengamal media yang berdaftar di bawah Kelab Media Negeri Sembilan (Manis) hari ini menerima sumbangan dua ekor ayam mentah untuk dijadikan juadah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama nanti.
Pengerusinya, Arfi Ahmad berkata, sumbangan itu merupakan acara julung kali diadakan kelab itu dan ia menerima sambutan yang amat baik dikalangan pengamal media di negeri ini.
“Sumbangan ini juga merupakan kerjasama antara MANIS dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith yang juga merangkap anggota Parlimen Kuala Pilah. Hari ini juga kita menyumbang sebanyak 106 ekor ayam kepada semua anggota berdaftar di bawah kelab Manis.
“Setiap anggota mendapat dua ekor ayam mentah untuk bekalan Aidilfitri. Insya-Allah kita akan terus mengadakan program ini dari tahun ke tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan di sini hari ini. – BERNAMA










