GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli di Pos Bihai di sini yang tidak sedar diri akibat deman panas dibawa ke Hospital Gua Musang (HGM) di sini menerusi penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam, Unit Udara JBPM, Pangkalan Udara Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menggunakan helikopter Augusta AW139 untuk membawa Jemi Ali, 40, pada jam 1.05 tengah hari sebelum dipindahkan ke HGM menggunakan ambulans.
Jemi dilaporkan dalam keadaan stabil.
Berita berkaitan:
Mohd. Farhan berkata, pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak jam 10 pagi dan sebuah helikopter diterbangkan ke Pos Bihai pada jam 11.50 pagi untuk membawa lelaki berkenaan.
Turut serta dalam penerbangan ialah isteri Jemi, Rogayah Anjang, 38.
Sementara itu, Rogayah ketika ditemui berkata, Jemi demam panas sejak tiga hari lalu dan petang semalam keadaannya bertambah kritikal hingga pengsan. – Bernama











