BUKIT MERTAJAM 16 Mei – Seorang lelaki yang aktif menjalankan kerja-kerja mencuri kabel di sekitar daerah ini ditahan selepas mendaftar masuk di sebuah hotel di sini kira-kira pukul 1 petang semalam.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan dalam Ops Lejang oleh sepasukan polis ibu pejabat daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bersama-sama pelbagai peralatan untuk mencuri kabel yang disimpan di dalam sebuah beg galas.
Menurut Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, antara peralatan yang dirampas bersama suspek itu termasuk dua batang alat pemotong besi serta playar, drill dan pemutar skru.
Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan beberapa kes mencuri kabel di sekitar SPT dan polis kini sedang mengesan laporan berkaitan kes itu yang pernah dibuat.
“Semakan juga mendapati suspek yang dikenali dengan gelaran ‘Alex’ ini turut mempunyai lima rekod jenayah lampau lain termasuk berkaitan dadah,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan kes itu di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











