JOHOR BAHRU – Seorang pembantu kedai didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki 150 kilogram (kg) daging lembu yang disembelih tanpa kebenaran sembelih Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor (JPVNJ) awal bulan lalu.
Mohd. Zairi Awang Hamat, 31, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurasidah A. Rahman.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd. Zairi didakwa memiliki 153kg karkas (daging) lembu tanpa tanda selar jabatan serta tiada perakuan kesihatan veterinar daripada JPVNJ atau pegawai yang diberi kuasa dan disyaki disembelih di luar rumah sembelih yang diluluskan atau rumah sembelih yang dilesenkan jabatan.
Kesemua daging lembu itu ditemui di dalam pacuan empat roda jenis Toyota Hilux di Pasar Borong Pandan, Jalan Pandan Ria Utama, Pusat Perdagangan Pandan di sini pada pukul 11.10 pagi, 3 April 2019.
Mohd. Zairi didakwa mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang (Pindaan 2013) dan boleh dihukum mengikut Kaedah 17 (Pindaan 2018) kaedah sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa JPVNJ, Mohd. Faiz Ajis memohon mahkamah mengenakan hukuman denda setimpal ke atas OKS memandangkan daging lembu tersebut tidak memiliki perakuan kesihatan veterinar yang dikhuatiri tercemar dengan pelbagai penyakit contohnya penyakit tibi dan Brucella Melitensis (menyebabkan kemandulan).
Mohd. Zairi membuat rayuan agar mahkamah mengenakan hukuman minimum memandangkan dia bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM40 sehari selain menanggunng isteri serta empat orang anak.
Mahkamah menjatuhi hukuman denda sebanyak RM700 dan memerintahkan Orang Kena Saman (OKS) dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda tersebut. – K! ONLINE











