KUANTAN 19 Mei – Pemandu sebuah lori jenis Isuzu rentung selepas kenderaan dipandunya itu bertembung dengan sebuah treler jenis Hohan sebelum terbakar dalam kemalangan di Kilometer 18 Jalan-Lipis-Merapoh-Gua Musang dekat Selendang, Lipis dekat sini hari ini.
Bagaimanapun, identiti mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu belum diperoleh kerana rentung.
Pemandu treler berkenaan, Mohamad Tarmizi Che Mahmud, 28, tidak cedera.
Ketua Polis daerah, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, kejadian berlaku semasa pemandu treler tersebut dalam arah perjalanan dari Lipis menuju Gua Musang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, lori jenis Isuzu masuk ke laluan bertentangan secara tiba-tiba menyebabkan berlakunya kemalangan.
“Akibat kemalangan ini, lori Isuzu terbalik dan terbakar bersama pemandunya manakala pemandu treler jenis Hohan tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata, siasatan mendapati, keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh, satu lorong dua hala dan mempunyai garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan.
“Siasatan diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE











