KUALA LUMPUR 23 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas ke atas pemain papan selaju yang menyalahgunakan kemudahan di kawasan projek River of Life (RoL), Medan Pasar Besar, di sini sebagai ‘taman permainan’ mereka.
DBKL menerusi catatan di Facebook berkata, pihaknya mengesan beberapa kumpulan remaja yang menjadikan kawasan itu sebagai lokasi bermain papan selaju sedangkan tindakan itu menyalahi peraturan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, tindakan menggunakan laluan jalan kaki dan struktur awam di kawasan RoL adalah sikap tidak bertanggungjawab dan membahayakan keselamatan.
“DBKL akan bertindak tegas ke atas pemain papan selaju ini jika masih meneruskan kegiatan mereka di lokasi terbabit.
“Tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme boleh dikenakan ke atas mereka kerana merosakkan harta milik Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN ONLINE











