KUALA LUMPUR 27 Mei – Ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim mengakui berasa kecewa dengan keputusan yang dilakar oleh anak-anak buahnya selepas dibelasah 1-4 oleh Kuala Lumpur dalam aksi liga di Stadium Kuala Lumpur, semalam.
Bekas pengendali Perak itu berkata beraksi di bawah tahap sebenar selain melakukan kesilapan mudah menjadi punca kepada kekalahan pasukannya sekali gus menyebabkan PKNP memasuki zon penyingkiran dengan berada di kedudukan ke-11.
“Kami berharap dapat memenangi perlawanan ini untuk memperbaiki kedudukan sebab setiap kutipan mata amat penting untuk pasukan.
“Dalam tempoh lapan minit pintu gawang PKNP dibolosi sebanyak tiga kali dan gol-gol itu berlaku disebabkan kesilapan pemain kita hendak mengeluarkan bola.
“Ketinggalan 0-3 pada 45 minit pertama memang sukar untuk kami terima. Kami cuba bangkit pada babak kedua namun jurang perbezaan gol terlalu jauh,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan, semalam.
Bagaimanapun, Abu Bakar mahu pemainnya memandang ke hadapan untuk mengharungi baki perlawanan Liga Super.
“Kita masih ada baki tujuh perlawanan dan saya lihat persaingan untuk tiga pasukan tercorot sengit. Kami perlu ada kepercayaan dan apa yang penting adalah memastikan pasukan tidak tersingkir turun ke Liga Perdana,” katanya. – UTUSAN ONLINE










