SABAK BERNAM 27 Mei – Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah, Lendu, Melaka, yang menghidap kanser buah pinggang tahap empat, Fildati Amalina Amir Shariffuddin, 19, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 2.30 pagi, hari ini.
Anak keempat dari lapan beradik yang mesra dipanggil Kak Lin itu menghembuskan nafas terakhir di sisi ibu, Fartini Sulidjan, 49, dan dua kakak, Nor Amira, 24, serta Siti Nabilah, 22.

Nor Amira berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian Kak Lin dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan adiknya selain memberi sokongan moral serta bantuan wang ringgit.
Katanya, doktor sudah melakukan yang terbaik, namun Allah S.W.T lebih menyayanginya.
“Sebelum Kak Lin menghembuskan nafas terakhir, riak mukanya cukup tenang dan tidak menunjukkan sebarang kesakitan meskipun terpaksa menjalani pelbagai rawatan,” katanya.
Nor Amira memberitahu, jenazah Kak Lin dibawa ke Masjid Kampung Baru, Sabak Bernam untuk disembahyangkan kira-kira 10.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Baru.
Pada 14 Mei lalu, media melaporkan Allahyarham terpaksa menangguh sementara pengajian semester kedua jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan berikutan tahap kesihatannya yang merosot akibat kanser.
Kanser itu juga menyebabkan buah pinggang sebelah kanannya terpaksa dibuang berikutan sel kanser berkenaan merosakkan organ berkenaan sebelum dikesan merebak pula ke paru-paru. – UTUSAN ONLINE











