RAUB 9 Mei – Seorang pelajar maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah treler di Kilometer 355 Jalan Kuala Lumpur – Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Lee Mei Kei, 17, dari Kampung Sungai Chetang yang dikatakan dalam perjalanan dari rumahnyaa menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud di sini meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pelajar tingkatan lima itu menunggang motosikal jenis Honda Wave dan melanggar treler terbabit ketika keluar dari simpang berhampiran Restoran Rasa Rindu.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terperosok di bahagian tayar tengah treler.
“Mangsa memakai topi keledar namun mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat manakala pemandu treler berkenaan tidak mengalami kecederaan.
“Kita telah menjalankan ujian air kencing terhadap pemandu treler namun keputusannya negatif,” ujarnya.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan. – UTUSAN ONLINE











