SABAK BERNAM 26 Mei – Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas diseret sebuah kereta sejauh 70 meter dalam kemalangan di Jalan Lama Kuala Selangor Panchang Bedena, dekat Taman Bedena Jaya Sungai Besar di sini malam semalam.
Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohamad Amrey Ismail, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian abdomen.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintenden Lim Chee Khoon berkata, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss maut selepas bertembung dengan kereta Toyota Vios dipandu lelaki berusia 44 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa disyaki memotong kenderaan dihadapannya dan berada di laluan bertentangan.

“Pada masa sama, kereta Toyota Vios dari arah bertentang gagal mengelak lalu berlakunya perlanggaran” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Chee Khoon, mangsa yang cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan.
Katanya, mayat mangsa serta pemandu kereta yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) untuk proses bedah siasat dan rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











