Pang Hok Liong pertahan diri, tidak sentuh politik - Utusan Malaysia

Pang Hok Liong pertahan diri, tidak sentuh politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Mei – Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong tampil mempertahankan diri bahawa beliau tidak menyentuh sebarang perkara berkaitan politik ketika berucap di Masjid Tenang Stesen, Johor, Jumaat lalu.

Jelas beliau, kehadirannya di masjid itu bertujuan menyerahkan bantuan sempena Ramadan kepada masjid dan surau yang berada dalam kawasan Labis.

Beliau juga memberitahu tidak mengetahui mengenai pekeliling yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) tentang larangan ahli politik untuk berucap di masjid-masjid negeri tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak menyentuh apa-apa mengenai politik. Ucapan saya pendek iaitu mengenai pengumuman bantuan dan mengucapkan selamat menyambut Ramadan. Itu saja,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam kenyataan hari ini bertitah bahawa tindakan Hok Liong itu sebagai baidab, tidak beretika dan tidak boleh diterima sama sekali.

Baginda malah bertitah, tindakan tersebut telah mendatangkan rasa kurang senang, kecewa yang amat mendalam dan menimbulkan bantahan umat Islam setempat serta umat Islam di Johor.

Dalam pada itu, menurut Hok Liong, pada mulanya beliau hanya menjalankan aktiviti di luar masjid sebelum dipelawa masuk untuk berucap.

Beliau juga mengetahui dengan jelas bahawa semua rumah ibadat termasuk masjid perlu bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Ketika saya berada di pihak pembangkang, kami telah memperjuangkan bahawa semua tempat ibadah tidak boleh digunakan untuk politik dan saya kekal dengan sikap begitu,” katanya.

Tambah Hok Liong, orang Islam sepatutnya menunjukan sikap sopan dan ramah sekiranya mahu orang bukan Islam menghormati agama itu.

“Ketika saya berada di masjid, persekitarannya adalah baik, saya berasa aman, damai dan harmoni,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini