KUANTAN 22 Mei – Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP) merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh kerabat diraja Pahang atas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al- Muadzam Shah.
Presiden PAKP, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, kemangkatan Almarhum merupakan kehilangan yang cukup besar kepada rakyat di negeri ini.
“Kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah adalah kehilangan yang begitu besar bukan sahaja kepada negeri ini, tetapi bagi seluruh rakyat Malaysia kerana kita semua sudah kehilangan seorang raja yang berjiwa rakyat.
“Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini, PAKP berdukacita dan sedih di atas kemangkatan Paduka Ayahanda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Mohammad Faiz berkata, sesungguhnya sumbangan Almarhum kepada pembangunan dan kemajuan negeri ini adalah tidak ternilai.
“Paduka Ayahanda cukup dikenali sebagai pemerintah yang mengamalkan prinsip ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’,” katanya. – UTUSAN ONLINE











