SKUAD Tok Gajah mahu memburu kelebihan jaringan di tempat lawan apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk berdepan Terengganu FC I (TFC I) menjelang perlawanan suku akhir pertama Piala FA 2019 malam ini.
Turun selaku juara bertahan, skuad kendalian Dollah Salleh perlu menang pada perlawanan tersebut sebagai bekalan selesa bagi aksi timbal balik di Stadium Darul Makmur, Kuantan nanti.
Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pasukannya perlu membuat persiapan rapi sebelum berdepan TFC I agar misi mencari kemenangan di tempat lawan menjadi kenyataan.
“Kita bukan sahaja mahu menang malah perlu mendapatkan jaringan sebanyak mungkin untuk bekalan selesa bagi aksi timbal balik.
“Jentera serangan perlu memainkan peranan penting dengan memanfaatkan semua peluang yang terhidang di depan gol,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, Tok Gajah akan menggunakan khidmat Norshahrul Idlan Talaha dan Ze Love pada jentera serangan memandangkan Dickson Nwakaeme tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) tiga hari lalu.
“Kita juga mungkin kehilangan pemain tengah dari Singapura, Muhammad Safuwan Baharuddin yang masih belum pulih daripada kecederaan buku lali,” uiarnya.
Mohammed Suffian memberitahu, semua pemain perlu mengelak daripada bermain dalam keadaan tertekan bagi mengelak TFC I selesa mengawal permainan.
“Saya harap semua pemain mempamerkan corak permainan lebih meyakinkan agar kita tidak pulang dengan tangan kosong,” jelasnya.











