TAPAH 6 Mei – Jabatan Kesihatan Perak hari ini melancarkan operasi keselamatan makanan bersempena bulan Ramadan bagi memastikan elemen kebersihan dipatuhi demi keselamatan orang awam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya tidak mahu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pada tahun lalu berulang setelah memakan roti jala yang dibeli di bazar Ramadan di Titi Gantung, Bota.
“Oleh itu, kita mengambil peluang mendekati golongan peniaga bazar Ramadan untuk menandatangani aku janji keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang dikendalikan adalah bersih dan selamat.
“Langkah ini bagi memastikan pengendali makanan mengamalkan kebersihan diri dan premis makanan dengan memenuhi peraturan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan operasi berkenaan di Dewan Merdeka Tapah dan seterusnya meninjau bazar Ramadan di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal menyeru para peniaga bazar Ramadan supaya mengikuti peraturan yang ditetapkan selain memastikan harga jualan makanan tidak dinaikkan dengan sesuka hati.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memilih makanan yang sihat ketika berbuka puasa. – UTUSAN ONLINE











