MELAKA – Perkhidmatan bot Melaka River Cruise yang beroperasi di Taman Rempah di sini terpaksa dihentikan sehingga malam ini selepas air sungai Melaka berubah hitam dan berbau busuk dipercayai akibat pencemaran sejak semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Azlan Abidin berkata, air tercemar itu menyebabkan ratusan ikan dan hidupan sungai mati sehingga menambahkan lagi bau busuk di laluan bot Melaka River Cruise itu.
Katanya, kerja-kerja pembersihan bangkai ikan sedang dilakukan dan sungai tercemar itu akan dilepaskan ke laut pada waktu air pasang kira-kira tengah malam nanti.
“Seramai 60 kakitangan kami sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan bangkai-bangkai ikan yang timbul di permukaan air.
“Operasi bot pelancongan Melaka River Cruise terpaksa dihentikan hari ini, namun kita jangka perkhidmatan dapat diteruskan semula esok selepas air busuk ini dapat dilepaskan ke laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel sungai tersebut dan sedang menyiasat punca pencemaran.
“Siasatan awal dilakukan oleh pihak kami mendapati air berwarna hitam itu mengalir sejauh tiga kilometer dari Batu Hampar, Batu Berendam ke Sungai Melaka ini.
“Bagaimanapun kita masih menunggu siasatan JAS dan satu laporan polis juga telah dibuat berhubung pencemaran ini,” katanya. – K! ONLINE











