Norliyana tidak mahu letak sasaran tinggi - Utusan Malaysia

Norliyana tidak mahu letak sasaran tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK – Atlet heptatlon negara, Norliyana Kamaruddin enggan meletakkan sasaran tinggi dengan memecahkan rekod kebangsaan miliknya apabila turun beraksi pada Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand di Bangkok yang akan bermula hari ini hingga Selasa depan.

Pada temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017), Norliyana berjaya mencatat rekod baharu kebangsaan acara berkenaan apabila catatan 5,247 mata yang dikumpulnya berjaya memadam rekod lama 5,175 mata yang dilakukan bekas wanita besi negara, Datuk Zaiton Othman pada temasya 1981.

Namun, sejak kejayaan itu, atlet berusia 28 tahun tersebut jarang mendapat peluang beraksi di kejohanan-kejohanan olahraga dan hanya temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia sahaja menjadi satu-satunya kejohanan antarabangsa yang disertai pada tahun lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Manakala Terbuka Thailand pula adalah kejohanan antarabangsa pertama disertainya untuk acara heptatlon tahun ini, sekali gus menyebabkan dia tidak mahu terlalu memaksa dirinya untuk melakar kejutan di bumi Bangkok ini.

“Saya jarang menyertai acara heptatlon dalam kejohanan antarabangsa, kalau ada pun cuma dalam acara lain seperti lompat tinggi.

“Saya juga baru pulih daripada kecederaan. Jadi, saya tidak mahu terlalu menekan diri saya, sebaliknya cuba dapatkan semula keyakinan dan menikmati suasana pertandingan ini.

“Kalau dapat kumpul markah lebih 4,000 mata di sini nanti, itu pun sudah memuaskan hati saya,” kata Norliyana semalam.

Norliyana yang pernah memegang rekod lompat tinggi kebangsaan pada suatu ketika dahulu, bakal mengharungi empat disiplin heptatlon iaitu acara 100 meter (m) lari berpagar, lompat tinggi, lontar peluru dan 200m yang berlangsung hari ini.

Cabaran atlet dari Negeri Sembilan itu di Stadium Nasional Supachalasai akan bersambung esok dengan baki tiga lagi disiplin iaitu lompat jauh, merejam lembing dan 800m.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini