Nikmat besarkan dua anak istimewa - Utusan Malaysia

Nikmat besarkan dua anak istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 20 Mei – Setiap ibu bapa pastinya ingin melihat anak yang dilahirkan itu sempurna seterusnya membesar seperti kanak-kanak lain.

Namun, perkara itu tidak berlaku terhadap Nur Fazilah Abdullah, 32, yang menerima dugaan hidup apabila dua anaknya yang masing-masing berumur 11 dan empat tahun disahkan mengalami komplikasi Cerebral Palsy sejak bayi sekali gus memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa.

Dua putera kesayangannya itu, Mohamad Danish Haikal Rosmizan dan Mohamad Daniel Hakim hanya mampu terlantar dan bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak selain sering mengalami sawan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi Nur Fazilah dari Kampung Tengah, Seberang Ramal, Kuala Perlis di sini, dikurniakan anak orang kurang upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang membebankan sebaliknya satu anugerah Allah SWT yang tidak ternilai harganya, yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

“Membesarkan anak istimewa ini memerlukan kesabaran dalam menguruskan keperluan mereka. Pada mulanya agak susah namun semakin lama, semakin biasa dengan keadaan ini dan ia cukup istimewa.

“Kehadiran dua putera kesayangan ini membuatkan rezeki mereka sekeluarga bertambah, malah ada sahaja bantuan daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, selain pendapatan suami yang bekerja di kilang simen di sini, kedua-dua anaknya juga menerima bantuan sebanyak RM750 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kadang-kala ada pihak yang tampil memberikan bantuan untuk membantu perbelanjaan dua anak saya itu termasuk ada yang membantu membina sebuah rumah untuk kami sebelum ini.

“Pada peringkat awal dahulu, saya sukar untuk terima apabila anak saya tidak seperti orang lain namun selepas itu, saya mula merasa nikmat membesarkan anak istimewa ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini