TIDAK dinafikan kaum Hawa dari negeri Cik Siti Wan Kembang kebanyakannya gemar berniaga. Biasanya, apa sahaja yang diniagakan terutama makanan sentiasa laris. Ini dapat dibuktikan pada pembukaan Restoran Nasi Kukus Kambing Bakar di Setapak, Kuala Lumpur yang menjadi lambang kejayaan Siti Aisyah Mustapha dan adiknya, Muhamad Nazri, 32.
Muhamad Nazri yang menguruskan restoran tersebut berkata, minatnya untuk membuka perniagaan restoran bermula daripada minat kakaknya, Siti Aisyah yang gemar memasak dan berniaga.
Menurutnya, melihat kegigihan kakaknya menjalankan perniagaan, beliau kemudian mencari idea bagaimana untuk mengembangkan minat tersebut menjadi pendapatan harian, sekali gus dapat memajukan diri.
“Kakak saya (Siti Aisyah) memang minat berniaga dan semasa di Kelantan, dia pernah bekerja di kedai makan tom yam, kemudian selepas berhijrah ke Kuala Lumpur, dia membuka gerai Nasi Kukus Ayam di Jalan Kebun.
“Jadi, saya terfikir bagaimana untuk menjadikan minat kakak saya ini sebagai sesuatu yang boleh memberi pulangan kepada diri saya. Dari situlah, saya kerap melontarkan idea kepada kakak sehinggalah restoran ini dibuka,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Antara menu wajib dan sering menjadi tarikan utama pengunjung setiap kali singgah di restoran yang sudah beroperasi selama setahun itu adalah nasi kukus kambing bakar, nasi kukus sup kambing dan nasi kukus sotong besar.
Selain itu, nasi kukus puyuh berempah, nasi kukus ayam berempah dan nasi kukus ikan keli goreng juga tersedia dengan aneka pilihan air untuk diminum antaranya jus mangga lambak, teh hijau lambak, teh ais madu lambak, milo sentap dan banyak lagi.
Tambah Muhamad Nazri, restoran itu dibuka pada pukul 11 pagi sehingga 11 malam setiap hari kecuali Jumaat dan kebiasaannya menerima ramai pengunjung pada waktu makan tengah hari, makan malam, hari minggu dan cuti umum.
Berikutan itu, beliau akan memastikan bekalan daging kambing mentah yang ditempah mencukupi, lebih-lebih lagi pada waktu puncak memandangkan sambutan daripada pelanggan terhadap menu tersebut sangat menggalakkan.
“Setakat ini, kami tidak pernah mengalami masalah terputus bekalan daging kambing. Ini kerana kami sudah merancang lebih awal berapa bilangan kotak daging kambing yang diperlukan sehari. Perancangan itu penting memandangkan menu tersebut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Nazri turut berkongsi pengalaman apabila menerima pelanggan yang datang dari Terengganu semata-mata mahu merasai sendiri keenakan nasi kukus kambing bakar di restorannya.
Mengulas perancangan restoran itu pada masa akan datang, beliau mengimpikan untuk membuka cawangan di Bangi, Selangor memandangkan lokasi itu sudah sinonim dengan gelaran syurga makanan, selain berhasrat mahu mempelbagaikan menu seperti menyediakan nasi kerabu kambing bakar dan mi celup.
Sementara itu, Siti Aisyah yang bertindak sebagai ketua tukang masak di restoran itu, berkata, setiap menu yang dihidangkan memiliki resipi tersendiri seperti nasi kukus sotong besar yang menggunakan ramuan tepung serta rempah dicipta khas, selain hanya digoreng selepas menerima pesanan.
“Daging kambing pula dikukus selama setengah jam bagi menjadikannya betul-betul lembut dan dicampur dengan pelbagai rempah seperti bawang putih, serai, halia dan sos tiram untuk menghilangkan bau hamis sebelum dibakar atau dimasak sup,” ujarnya.











