DALAM bulan Ramadan yang penuh barakah ini, kedua-dua pimpinan Pas dan UMNO masing-masing menyatakan bahawa hubungan ataupun kerjasama kedua parti Melayu Islam terbesar dalam negara itu sudah sampai ke peringkat memeterai piagam kerjasama yang dijangka mengukuhkan lagi hubungan kerjasama kedua belah parti.
Sepanjang bulan Ramadan ini, dapat disaksikan gerakan kerjasama kedua belah parti terus diperkasakan dipelbagai peringkat termasuk akar umbi dengan pelbagai program dan gerak kerja bersama demi memberi isyarat kepada rakyat khususnya umat Melayu Islam bahawa satu gagasan penyatuan ummah sedang ditaja yang bakal membawa perubahaan besar pada landskap politik tanah air khasnya yang melibatkan pengukuhan kuasa politik Melayu Islam.
Malah Presiden Pas dijangka menyentuh isu ini dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-65 yang akan diadakan di Kuantan, Pahang pada musim Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.
Ini bermakna kerjasama politik Pas dan UMNO yang tidak pernah terbayang oleh rakyat Malaysia sebelum ini bakal terbentuk secara formal dengan menyaksikan kedua belah parti membina sebuah kekuatan politik baharu bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) kelak dalam keadaan masing-masing bertanding satu lawan satu menghadapi Pakatan Harapan (PH).
Kerja-kerja awal ke arah itu dapat disaksikan dalam beberapa Pilihan Raya Kecil selepas PRU Ke-14 dan ternyata tiga PRK terakhir di kawasan-kawasan yang lazimnya ditandingi Pas dan UMNO telah memberikan kemenangan besar buat mereka sekali gus menjadi petanda bahawa mereka bakal bangkit sebagai pencabar besar terhadap nasib dan masa depan PH yang sudah disebut-sebut sebagai kerajaan satu penggal.
Kerjasama ini jika semua berjalan lancar tidak boleh dipandang ringan, malah jika kita melihat hasil dari keputusan PRU Ke-14 terbukti jika undi yang diraih Pas dan UMNO disatukan di Kawasan-kawasan yang dipertandingkan di seluruh negara, keputusannya sama sekali berbeza dengan yang diperolehi dalam PRU itu malah Pas dan UMNO bukan hanya mampu mencabar kedudukan PH di kebanyakkan negeri-negeri sehinggakan kerajaan Persekutuan pun mampu dirampas daripada tangan PH.
Sebagai contoh di Parlimen Kapar, Selangor yang dimenangi PH dalam PRU lalu dengan majoriti 16,306 undi melalui pertandingan tiga penjuru PH, BN dan Pas. Walaupun calon PH ketika itu memperolehi 47,731 undi namun kombinasi undi calon-calon BN dan Pas berjumlah 57,837 undi.
Ini bermakna jika mengambil kira senario ketika itu, jika BN dan Pas hanya meletakkan seorang calon, calon itu boleh menang dengan majoriti 10,106 undi.
Tidakkah bukti ini menggoncang kedudukan PH?
Itu baru satu contoh kawasan Parlimen di Selangor. Cuba lihat kerusi-kerusi lain yang dimenangi PH termasuklah Pokok Sena, Parit Buntar, Bukit Gantang, Indera Mahkota, Temerloh dan puluhan lagi kerusi Parlimen lain tidak termasuk kerusi-kerusi negeri.
Dan jika kita mengambil kira faktor PRK Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau di mana pengundi-pengundi Melayu khususnya dilihat ‘swing’ kembali ke pembangkang (kombinasi Pas dan UMNO) dengan peratusan antara 80 ke 90 peratus, tidak mustahil kombinasi Pas dan UMNO bakal menyapu bersih hampir kesemua kerusi-kerusi majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.
Kerana itulah pihak PH sebenarnya gusar dan bimbang dengan fenomena ‘Penyatuan Ummah’ yang diusahakan oleh Pas dan UMNO ini. Mereka mungkin memperlihatkan seolah tiada kebimbangan langsung di pihak mereka kerana memegang tampuk kuasa kini, tetapi realitinya mereka tertekan dan tidak mustahil menjadi kerajaan sepenggal sebagaimana yang riuh sedang diperkatakan kebelakangan ini.
Dalam banyak-banyak komponen PH sudah pastilah yang paling cemas adalah DAP.
Parti ini sesungguhnya mencapai cita-cita perjuangannya hasil dari taktik ‘pecah dan perintah’ yang ia usahakan. DAP tidak boleh menang bersendirian.
Namun apabila parti-parti Melayu berpecah kepada berbagai haluan sedang pengundi Cina dan bukan Melayu padu di belakang mereka, DAP menjadi kuasa paling dominan dalam kerajaan dan kini mampu menunjukkan belangnya.
Sudah pasti inisiatif yang diambil pimpinan Pas dan UMNO ini bakal memecahkan ‘honeymoon’ mereka kerana penyatuan ini sebagaimana ditunjukkan akan berjaya merampas kembali kerusi-kerusi Melayu yang kini dimenangi khasnya Parti Amanah Negara, PKR dan Bersatu selain beberapa kerusi DAP sendiri.
Apabila kuasa politik Melayu yang kecil dalam PH berjaya dirobohkan maka DAP akan kembali menjadi pembangkan pada PRU Ke- 15 nanti.
Kerana itu usaha penyatuan ummah yang dipelopori pimpinan Pas dan UMNO ini perlu dilihat serius dan diberi sambutan hangat oleh umat Melayu Islam dipelbagai peringkat.
Sekiranya kita serius mahu mempertahan dan menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara, maka kita tiada pilihan lain selain menyokong dan memastikan gagasan baharu ini berjaya sehingga nanti menerajang keluar PH dari takhtanya.
Usaha merintis jalan perpaduan dengan memartabatkan Islam adalah satu usaha murni dan pasti diterima baik oleh semua pihak. Kekuatan bangsa Melayu di tanah air sesungguhnya berpusat pada kesungguhan mereka berpegang teguh kepada Islam yang merupakan suatu sistem hidup bermasyarakat dan bernegara yang lengkap.
Segala sengketa dan perbalahan yang lampau perlu dilupuskan kerana yang berada di hadapan kita adalah ancaman besar terhadap kelangsungan ‘status quo’ yang telah sekian lama dibina.
Sempena bulan Ramadan, bulan yang diturunkan Allah SWT al-Quran ini, wajarlah kita semua bermuhasabah dan melihat betapa boleh sahaja Allah mencabut kemuliaan dari tangan kita apabila kita lupa dan meminggirkan agama-Nya. Malah ia telah dan sedang berlaku.
Biarlah Ramadan ini menjadi pemangkin ke arah kesungguhan Pas dan UMNO menjalin hubungan kerana kita masih belum terlambat.
Semoga selepas Ramadan ini dapat kita saksikan gerakan kerjasama yang padu dan jitu yang bakal meraih sokongan dan simpati rakyat jelata sehingga kuasa politik baru ini nanti bakal bangkit menyelamatkan semua dari kekalutan dan ketidaktentuan kerajaan PH hari ini.
Usaha ini ditambah dengan keinsafan dan kesedaran rakyat seluruh negara, tidak mustahil dengan izin Allah bakal menjanjikan nasib dan masa depan yang cerah buat kita semua.
Jangan lagi Islam duduk terancam, institusinya dikotak-katik, peradaban Melayu dan institusinya termasuklah Raja-raja Melayu diperkecil dan nasib serta kehidupan anak bangsa tiada lagi tertekan dan tertindas di bumi sendiri.
Tiada siapa mampu membawa perubahan itu melainkan kita sendiri, bangkitlah dengan berbaki semangat Ramadan ini kita nyatakan kesungguhan, jangan persiakan peluang ini, tidak Islam dan bangsaku hilang di dunia ini.-UTUSAN ONLINE.
- Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia.











