Mudah buat semperit dengan d’BiSKiT - Utusan Malaysia

Mudah buat semperit dengan d’BiSKiT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan perayaan Aidilfitri tidak lengkap rasanya jika tidak diserikan dengan hidangan kuih-muih dan biskut tradisional yang akan menggamit nostalgia dahulu kala.

Antara kuih dan makanan yang pasti wajib dihidangkan ialah dodol, bangkit, baulu, semperit, tart gulung dan sebagainya.

Namun, kesibukan kerja dan proses pembuatannya yang agak rumit menyebabkan generasi kini lebih berminat untuk membeli kuih yang siap sedia di pasaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jadi, tidak hairanlah pengusaha-pengusaha biskut dan kuih raya mula muncul bagaikan cendawan selepas hujan tatkala tiba musim perayaan bagi memenuhi permintaan tinggi dari pengguna.

Memeriahkan lagi industri pembuatan kuih dan biskut raya, sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan inovasi mesin kuih semperit untuk mempercepatkan proses pembuatan biskut semperit dan mampu meningkatkan kadar pengeluaran.

Menurut Ketua Penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Rosnah Shamsudin, mesin d’BiSKiT yang dibangunkan merupakan sebuah mesin semi-automatik yang mampu menghasilkan biskut semperit dan pelbagai biskut yang sesuai dengan mudah dan cepat.

Katanya, hal ini kerana biskut semperit adalah salah satu biskut yang mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan disebabkan penggunaan bahannya yang ringkas dan rasanya yang sedap.

Namun, kebanyakan pengusaha biskut tradisional masih menggunakan kaedah manual menyebabkan kadar pengeluaran agak terhad bergantung kepada tenaga kerja yang ramai serta kualiti biskut yang tidak sekata.

Secara tradisinya, doh dimasukkan dalam acuan semperit dan ditolak dengan jari sehingga doh keluar memanjang dengan jalur-jalur halus pada bahagian atas biskut sebagai corak.

Kaedah ini agak melambatkan proses menghasilkan biskut semperit kerana doh dimasukkan ke dalam acuan satu per satu mengakibatkan kadar pengeluaran juga rendah serta sukar memenuhi permintaan yang tinggi.

Katanya, d’BiSKiT dibangunkan bagi menjimatkan masa dan tenaga buruh di samping mempercepatkan pembuatan dan meningkatkan kuantiti biskut semperit yang dihasilkan.

“Selain dilengkapi dengan panel kawalan untuk mengawal kelajuan pengeluaran doh, ia juga sangat mudah untuk dikendalikan, diselenggarakan serta mudah alih mengikut

kesesuaian pengusaha,” ujarnya.

Tambahnya, mesin itu dihasilkan daripada besi tahan karat dan acuannya boleh ditukar mengikut acuan sedia ada di pasaran atau mengikut acuan pilihan pengguna.

“Cara mengendalikan mesin ini amat mudah, doh yang telah siap dibancuh akan dimasukkan ke dalam bekas doh yang disediakan. d’BiSKiT dihidupkan dengan menekan butang dan doh akan keluar dari corong acuan.

“Setiap satu minit akan menghasilkan kira-kira 50 keping biskut semperit atau 3,000 keping biskut dalam sejam. Ini bersamaan dengan 60 balang biskut semperit dalam sejam,” katanya.

ALAT pemotong khas yang didatangkan bersama mesin d'BiSKiT untuk potongan biskut saiz sekata.
ALAT pemotong khas yang didatangkan bersama mesin d’BiSKiT untuk potongan biskut saiz sekata.

Pelbagai guna

Tidak hanya fokus kepada pembuatan biskut semperit, d’BiSKiT juga boleh dipelbagaikan dengan menghasilkan biskut tart gulung atau biskut jejari mengikut kehendak pengusaha.

Pelbagai jenis biskut berkenaan boleh dihasilkan dengan hanya menukar acuan kerana bancuhan doh itu yang sama seperti semperit.

Menurut Dr. Rosnah, kaedah yang sama juga digunakan untuk menghasilkan biskut tart gulung dengan menggunakan acuan yang bersesuaian untuk membentuk jem secara membulat.

“Jem nanas dimasukkan ke dalam bekas doh dan acuan jem digunakan.

“Jem kemudiannya akan keluar secara memanjang dan dipotong mengikut saiz yang dikehendaki dengan menggunakan pemotong yang disediakan.

“Jem itu kemudiannya diletakkan di atas kulit semperit tadi dan digulung. Kaedah ini mempercepatkan penghasilan kulit tart gulung dan mengelakkan kerja-kerja menggentel jem yang melecehkan,” ujarnya.

Di samping itu, saiz atau kuantiti jem juga akan menjadi sekata dan cantik pada setiap tart gulung untuk memberikan kelebihan dari segi nilai komersial.

Mesin yang dibangunkan sejak setahun lalu telah menerima Anugerah Produk Inovatif Malaysia (MIPA) dalam Pameran Ciptaan Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2012 dan pingat perak dalam Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) pada tahun yang sama.

Menyasarkan pengusaha biskut kategori industri kecil sederhana (IKS), ia dijual pada harga RM13,750 seunit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini