SINGAPURA 10 MEI – KEMENTERIAN Kesihatan Singapura mengesahkan satu ‘kes import’ jangkitan monkeypox atau cacar monyet membabitkan seorang warga Nigeria yang tiba di negara ini bulan lalu.
Lapor Channel News Asia, menurut kementerian, lelaki berusia 38 tahun itu berada di negara ini untuk menghadiri tiga bengkel di Jalan Gereja pada 29 dan 30 April lalu.
Jelas kementerian itu, pesakit berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di wad berasingan di Pusat Negara bagi Penyakit Berjangkit (NCID).
“Kes cacar monyet merupakan yang pertama di Singapura.
“Sebelum tiba di negara ini, pesakit telah menghadiri majlis perkahwinan di Nigeria yang mana mungkin dia makan hidupan liar yang menjadi sumber jangkitan virus,” jelas kenyataan itu.
Cacar monyet merupakan penyakit terpencil disebabkan virus yang dipindahkan kepada manusia dari haiwan terutama di tengah dan barat Afrika.
Jangkitan terjadi apabila seseorang berhubung dengan dekat haiwan dijangkiti seperti tikus.
Simptom cacar monyet termasuk demam, sengal badan, bengkak nodus limfa dan ruam kulit.
Tambah kementerian, sebagai langkah berjaga-jaga, seramai 23 orang yang berhubung dekat dengan pesakit telah dikuarantin dan dipantau dari semasa ke semasa.
Walaupun tidak mustahil penyakit itu dipindahkan antara manusia, risiko tersebar agak rendah.
Dalam sesetengah kes, virus boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk radang otak dan jangkitan mata.











