SEBAIK sahaja Abdul Rahim Noor mengambil alih jawatan Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Februari 1986, beliau mencadangkan projek khas yang luar biasa iaitu misi dengan Parti Komunis Malaya (PKM).
Apabila cadangan ‘projek khas’ itu diketahui oleh pegawai kanannya SAC II Yau Kong Yew yang berpengalaman luas sebagai pegawai soal siasat gerila komunis sejak zaman British, beliau terperanjat besar lantas bertanya: “Adakah Datuk (Abdul Rahim) berani melakukan ini (projek khas)?
Abdul Rahim tidak mempedulikan pandangan pegawai kanannya itu tetapi sebaliknya beliau melihat faktor Kong Yew yang memiliki pengalaman yang luas dalam Cawangan Khas itu sejak era British sebagai aset berharga yang diyakininya dapat membantu menjayakan projek khas tersebut.
Abdul Rahim melantik Kong Yew sebagai Timbalan Pengarah Polis Cawangan Khas (Projek Khas) dengan tugas utama merencana perhubungan langsung dengan pemimpin tertinggi komunis, Chin Peng dan anggota Jawatankuasa Pusat PKM seperti Rashid Maidin dan Abdullah C.D.
Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Wira Tak Didendang (2004), Abdul Rahim yakin selain pembangunan pesat negara sejak merdeka ditambah pula dengan perubahan suasana politik dunia turut mengubah sikap radikal PKM yang telah menggagalkan Rundingan Baling pada Disember 1955.
Setelah menyiapkan rangka kerja strategi dan operasi Projek Khas itu Rahim dan Kong Yew menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada pertengahan 1988 untuk memberikan laporan lengkap bagi melaksanakan tugas dan misi mereka seterusnya.
Abdul Rahim dan Kong Yew kemudiannya telah bergambar dengan Dr. Mahathir tetapi bukan untuk album kenangan atau hiasan dinding rumah sebaliknya untuk membuktikan kepada PKM bahawa mereka berada pada kedudukan yang penting dan diberikan kuasa untuk berunding.
Perundingan antara Cawangan Khas dan PKM berlangsung dalam suasana tegang dan ditambah pula dengan tuntutan anggota Jawatankuasa Pusat, Rashid Maidin supaya Tugu Peringatan Negara di Kuala Lumpur dimusnahkan kerana dianggap menghina perjuangan PKM yang melambangkan perajurit negara memijak gerila komunis yang tewas di medan perang.
“Abdul Rahim menerangkan kepada PKM bahawa pemusnahan Tugu Peringatan Negara memerlukan kelulusan Parlimen yang tentunya akan menghadapi bantahan yang keras dan perbincangan (polemik) politik yang akan memberi kesan buruk kepada kerajaan pimpinan Dr. Mahathir. Situasi Ini tentunya akan melewatkan lagi proses rundingan dan pencapaian perdamaian.
Mengenai pemberian tanah kepada bekas-bekas anggota PKM, Rahim bertanya bagaimana kelak reaksi dalam kalangan bekas tentera, polis dan anggota keselamatan yang tidak berpeluang mendapat tanah?
“Mereka (anggota keselamatan) akan memberontak dan menentang kerajaan,” jawab Abdul Rahim.
“Melalui persetujuan dicapai, PKM tetap diharamkan tetapi kerajaan bersetuju membatalkan waran tangkap terhadap anggota PKM.
Ketua Polis Negara, Haniff Omar terpaksa menandatangani pembatalan beratus-ratus waran tangkap yang telah pun dikeluarkan terhadap mereka.
Melalui perjanjian perdamaian dengan kerjasama Kerajaan Thai di Hotel Lee Garden pada 2 Disember 1989, bekas anggota PKM diberi peluang untuk memilih sama ada terus tinggal di Thailand atau kembali semula ke Malaysia. Kebanyakan pemimpin veteran PKM seperti Rashid Maidin, Abdullah C.D. Abu Samah (Sibar), Suriani Abdullah (Eng Meng Cheng) dan lain-lain memilih untuk menetap terus di perkampungan perdamaian yang dikhaskan untuk mereka di Selatan Thailand.
Haniff dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Hashim Md. Ali selepas menandatangani perjanjian Haadyai berkata: “Kita sudah menang, moral tentera tidak terjejas kerana perjanjian itu. Ia tidak akan merendahkan moral tentera tetapi meningkatkan moral kerana kita sudah menang. Kita mahukan perdamaian dan kita dapat perdamaian.
Dr. Mahathir menyifatkan kejayaan itu hasil ketabahan dan pengorbanan semua pihak terutama tentera dan polis.











