Messi menangis bersendirian - Utusan Malaysia

Messi menangis bersendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL 9 Mei – Lionel Messi menangis dalam bilik persalinan Barcelona sejurus selepas pasukannya dimalukan 4-0 oleh Liverpool dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara di Anfield, semalam.

Sesetengah pemain Barcelona sukar menerima kekalahan itu, apatah lagi selepas mereka mendahului selesa 3-0 pada separuh akhir pertama di Camp Nou, minggu lalu.

Namun, kekecewaan mereka tidaklah sehebat yang dirasai Messi, 31, apatah lagi penyerang Argentina itu menjadi sasaran mudah penyokong kelab Catalan tersebut untuk meluahkan kemarahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut akhbar Britain, Guardian, Messi ‘tidak dapat ditenangkan’ selepas pasukannya menjadi mangsa kebangkitan terhebat dalam sejarah kejuaraan bola sepak Eropah.

Keadaan menjadi bertambah buruk ketika Pemain Terbaik Dunia lima kali itu duduk bersendirian selepas ‘ditinggalkan’ oleh bas pasukannya kerana perlu menjalani ujian doping secara rambang yang dilakukan sejurus tamat perlawanan.

Lebih malang lagi, sudahlah pasukannya kalah dan dia terpaksa menunggu lama untuk menjalani ujian air kencing, Messi yang masih kepenatan serta berada dalam keadaan emosi tidak menentu disambut dengan maki hamun oleh sekumpulan penyokong Barcelona sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang John Lennon, Liverpool.

Rakan sepasukannya, Luis Suarez mengakui, kekalahan tersebut memberi kesan yang amat besar buat Barcelona dan semua pemain sangat terluka.

“Kami amat sedih, terluka.

“Kami semua manusia biasa yang merasai keperitan, kekecewaan. Keadaan sekarang ibarat peluru yang menembusi dada dan kami perlu mengeluarkannya,” ujar bekas penyerang Liverpool itu.

Menurut El Chiringuito, salah seorang penyokong di lapangan terbang berteriak: “Messi anda kapten! Anda bertanggungjawab!”.

Mundo Deportivo pula melaporkan, Messi turut diboo dan dikecam ketika dia meninggalkan lapangan terbang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini