LONDON 12 Mei – Pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic seakan menyalahkan penyerang prolifik Lionel Messi, dengan memberi bayangan akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini setelah tidak dilanjutkan kontrak.
Memetik laporan Don Balon, Barcelona mungkin kehilangan Rakitic musim depan selepas pemain kebangsaan Croatia itu bengang dengan tindakan juara Sepanyol tersebut berhubung kontraknya.
Tambahan pula, ketibaan Frenkie de Jong dari Ajax juga telah menyebabkan Barca beralih tumpuan dengan pemain muda itu dijangka dapat bermain secara penuh pada musim depan.
Bagaimanapun, faktor terbesar mengapa Rakitic ingin keluar adalah kerana sikap diktator Messi.
Pemain berusia 31 tahun itu percaya, Messi merupakan ‘tangan ghaib’ yang menyebabkan Barca enggan menawarkan kontrak baharu kepadanya seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.
Rakitic yakin hanya Jordi Alba yang sudah menandatangani kontrak lanjutan pada Februari lalu kerana dia sangat rapat dengan Messi.
Laporan tersebut turut mengatakan Rakitic tidak berada dalam senarai ‘pilih kasih’ Messi.
Selain Rakitic, Messi juga dilaporkan meminta Barcelona supaya menyingkirkan bekas bintang Liverpool, Philippe Coutinho dan Samuel Umtiti. – AGENSI











