KOTA BHARU 24 Mei – Polis menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai terlibat dalam serangan ke atas dua wanita yang menaiki sebuah kereta di kawasan pasar malam di hadapan Bazar Buluh Kubu, di sini kelmarin.
Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 2 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, dua suspek telah ditahan setakat ini dan pihaknya masih memburu tiga lagi suspek bagi membantu siasatan.
Suspek pertama, iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan seorang peniaga ditahan semalam.
“Kejadian ini berlaku disebabkan peniaga berang selepas pemandu wanita berusia 40 tahun itu melalui jalan sempit dan dia tidak sedar kemungkinan telah tergesel dengan orang atau gerai jualan.
“Pihak boleh berharap sesiapa yang terlibat atau mengetahui mereka terlibat supaya tampil ke hadapan bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin, dua wanita bersama dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka diserang sekumpulan lelaki kerana cuba melalui jalan sempit di pasar malam berkenaan.
Rakaman kejadian itu tular di media sosial dengan memaparkan orang ramai seolah-olah merusuh dengan beberapa lelaki dilihat menendang, memecahkan cermin kereta selain mengugut mahu mencederakan mangsa.
Mengulas lanjut kes itu, Abdul Rahim, beliau menasihatkan masyarakat supaya bertolak ansur dan bersabar menangani sebarang situasi yang tidak diingini, bukannya mengambil jalan penyelesaian sendiri yang salah di sisi undang-undang.
“Pihak polis tidak akan bertolak ansur, kita akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang mengambil tindakan sendiri membelakangi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, Abdul Rahim menghadiri program ‘community policing’ dan penyampaian sumbangan kepada asnaf anjuran
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Balai Polis Badang dan Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma di sini hari ini.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Amal Dato’ Zul Wisma , Datuk Dr. Zulkepli Mohamed. – UTUSAN ONLINE











