Media Prima catat rugi selepas cukai lebih tinggi - Utusan Malaysia

Media Prima catat rugi selepas cukai lebih tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 31 Mei – Kumpulan peneraju media bersepadu Malaysia, Media Prima Berhad merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM42.8 juta pada suku pertama 2019 berbanding RM23 juta pada tempoh sama tahun lepas disebabkan penurunan pendapatan pengiklanan dan jualan akhbar.

Perolehan kumpulan pada suku pertama tahun kewangan 2019 sebanyak RM239.1 juta, lebih rendah berbanding RM280.7 juta tempoh sama 2018.

Media Prima dalam kenyataannya berkata, bagi segmen digital, Media Prima mencatatkan perolehan RM17.4 juta berbanding RM19.1 juta disebabkan pertumbuhan perlahan daripada pengiklanan dan pemasaran digital pada awal tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, inisiatif perdagangan Media Prima yang diterajui oleh segmen beli-belah di rumah kekal mencatatkan pertumbuhan meskipun industri media terus berdepan dengan cabaran dalam senario landskap ekonomi semasa.

“Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) CJ Wow Shop merekodkan peningkatan 24 peratus dalam keseluruhan jualan kepada RM54.5 juta pada suku pertama 2019 berbanding RM44 juta bagi tempoh sama 2018,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd. Nasir Ahmad berkata, pihaknya percaya keputusan tersebut tidak mencerminkan prestasi kumpulan bagi keseluruhan tahun kewangan.

“Suku pertama adalah tempoh yang mencabar disebabkan keadaan makro ekonomi yang tidak memuaskan seperti sentimen pengguna yang lemah dan pertumbuhan kasar produk domestik yang rendah telah memberi kesan kepada pelbagai industri.

“Dalam keadaan tidak menentu ini, kami menjangkakan prestasi lebih baik pada suku akan datang tahun kewangan di mana kami menyesuaikan perniagaan dengan pemulihan ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini