LE MANS, Perancis 19 Mei – Pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee dari Great Britain menjuarai perlumbaan Moto3 pada Grand Prix Motosikal Perancis di Litar Bugatti, Le Mans, hari ini.
Anak muda berusia 25 tahun itu mencatat masa terpantas 37 minit 48.689 saat (s) untuk mengetepikan cabaran pelumba Itali, Lorenzo Dalla Porta (37:48.795s) dari pasukan Leopard Racing yang berada di kedudukan kedua, manakala pelumba Sepanyol, Aron Canet (37:49.446s) yang bernaung di bawah pasukan Sterilgarda Max Racing Team (KTM) di tempat ketiga.
Sementara itu, rakan sepasukan McPhee, Ayumu Sasaki dari Jepun sekadar menamatkan saingan di tempat ke-14 dengan lakaran masa 38:0.585s.
McPhee dalam kenyataannya kepada laman web pasukan melahirkan rasa terujanya setelah menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama.
“Saya sangat beremosi dengan kejayaan yang saya catat hari ini, ia cukup bermakna kepada saya. Setelah bergelut dengan prestasi sejak awal musim, saya akhirnya berjaya membuktikan kemampuan saya. Terima kasih kepada sokongan yang tidak berbelah bagi diberikan pasukan sehingga saya beroleh kejayaan ini,” katanya yang memulakan perlumbaan dari petak pertama. – AGENSI











