Mazlan mula tugas sebagai Pengerusi Bersatu Johor hari ini - Utusan Malaysia

Mazlan mula tugas sebagai Pengerusi Bersatu Johor hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Mei – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa yang merupakan bekas Exco kerajaan negeri, Mazlan Bujang memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri yang baharu hari ini.

Perkembangan itu menyaksikan cubaan Ketua Bahagian dan wakil membabitkan 21 bahagian yang menghantar memorandum bantahan lantikan Mazlan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 7 Mei lalu tidak berjaya.

Mazlan pada sidang media di Pejabat Bersatu Bahagian Tebrau di sini hari ini memberitahu, selaras dengan peruntukan 16.3 Perlembagaan Bersatu, beliau melantik ADUN Tenang, Mohd. Solihan Badri sebagai Setiausaha negeri menggantikan Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut melantik ADUN Larkin, Mohd. Izhar Ahmad sebagai Bendahari, Ketua Bahagian Pulai, Ya’cob Atan sebagai Ketua Penerangan dan Ketua Bahagian Sekijang, Uzzair Ismail sebagai Pengarah Media manakala jawatan Timbalan Pengerusi negeri kekal disandang Senator Ir. Nasir Hashim.

Ditanya mengapa Dr. Sahruddin tidak diberi apa-apa jawatan, Mazlan berkata, ADUN Bukit Kepong itu menolak tawaran beliau untuk memegang jawatan dalam parti.

“Saya dah tawarkan jawatan Setiausaha kepada Dr. Sahruddin tetapi saya dimaklumkan oleh YB Mohd. Solihan, Menteri Besar menolak tawaran itu kerana mahu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kita akan menjemput Dr Sahruddin atas kapasiti beliau sebagai Menteri Besar untuk menghadiri mesyuarat Bersatu negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini