Matrikulasi laluan alternatif, bukan diskriminasi - Utusan Malaysia

Matrikulasi laluan alternatif, bukan diskriminasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mei – Program matrikulasi tidak boleh dilihat sebagai satu bentuk diskriminasi memandangkan ia ditubuhkan sebagai laluan alternatif bagi pelajar bumiputera yang kebanyakannya tinggal di luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai 

Pakar ekonomi, Prof. Barjoyai Bardai berpendapat, kecaman terhadap peruntukan kuota 90 peratus untuk bumiputera melalui program itu bukan kerana ia mendiskriminasi kaum tertentu sebaliknya kerana kerajaan dilihat memperuntukkan sejumlah perbelanjaan khusus untuk satu golongan sahaja.

“Mereka lihat kerajaan membelanjakan sejumlah wang untuk program matrikulasi ini dan faedahnya kebanyakan diterima oleh bumiputera. Itu yang dipersoalkan, bukan soal diskriminasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya rasa persoalan itu telah dijawab banyak kali. Ini merupakan program untuk memberikan peluang yang adil kepada pelajar bumiputera untuk bersaing masuk ke universiti. Dengan adanya program ini, pelajar bumiputera yang kebanyakannya datang dari luar bandar mendapat peluang menyambung pelajaran ke universiti setanding pelajar bukan bumiputera,” katanya.

Isu kuota bumiputera untuk program matrikulasi menjadi perbincangan hangat baru-baru ini apabila Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan kuota 90 peratus bumiputera akan dikekalkan manakala pengambilan keseluruhan pelajar untuk program itu dipertingkatkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada pelajar bukan bumiputera menyertainya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kuota yang diwujudkan sekarang adalah adil kerana ia mewujudkan padang persaingan rata antara kaum di peringkat universiti.

Kata beliau, bantahan terhadap isu tersebut berkemungkinan hanya atas dasar prinsip, bukan praktikal.

“Mungkin mereka hanya memperdebatkan tentang prinsip dan tidak melihat aspek praktikal. Dari segi prinsip memang ia tidak nampak betul kerana pengambilan bumiputera terlalu besar tapi kita kena lihat kesan hujungnya kerana kita nak wujudkan padang persaingan yang rata di peringkat universiti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini