KUALA LUMPUR 20 Mei – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa daripada Pas, Ahmad Marzuk Shaary menyokong pendirian tegas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik yang mempertahankan kuota kemasukan program matrikulasi.
Katanya, sekalipun dikritik segelintir pihak terutama beberapa pemimpin dan penyokong DAP, MCA dan Gerakan, namun Maszlee tetap dengan pendiriannya.
“Tindakan ini amat kita puji dan sokong, malah sebelum ini pun saya mengeluarkan kenyataan program matrikulasi wajib diteruskan,” katanya yang dipetik daripada laporan portal Harakah Daily hari ini.
Pada Khamis lalu, di hadapan penuntut-penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, Maszlee berkata adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kuota matrikulasi untuk bukan bumiputera dilonggarkan dan pada masa sama para majikan masih menetapkan syarat perlu fasih berbahasa Mandarin untuk mendapatkan pekerjaan yang secara tidak langsung menafikan hak kaum bumiputera.
Katanya, keadilan bukan hanya dilihat dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan program matrikulasi sahaja, tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan.-UTUSAN ONLINE











