MILAN 10 Mei – Spekulasi mengenai masa depan Massimiliano Allegri semakin hangat diperkatakan apabila Juventus bertemu Roma dalam aksi Serie A, Ahad ini.
Juventus sudah pun mengesahkan kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut dengan lima daripadanya di bawah kendalian Allegri selepas dia mengambil alih pasukan dari Antonio Conte pada 2014.
Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan dia akan kekal bersama pasukan meskipun Juventus tersingkir di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara setelah tumpas kepada Ajax sekali gus mendorong kritikan meskipun sudah mendapatkan membawa masuk Cristiano Ronaldo.
Skuad The Old Lady turut disingkirkan oleh Atalanta dalam saingan Coppa Italia.
Tidak mempunyai apa-apa selain menghabiskan baki tiga perlawanan musim ini, difahamkan Allegri mengadakan pertemuan bersama presiden, Andrea Agnelli.
“Kami akan duduk berbincang dan memikirkan mengenai masa depan, menganalisis pencapaian pada musim ini dan penambahbaikkan yang boleh dilakukan supaya pasukan boleh mensasarkan kejayaan dalam semua kejohanan pada musim depan,” kata Allegri.
Bekas jurulatih AC Milan dan Cagliari itu masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan gaji tahunannya bernilai 7.5 juta euro (RM35 juta).
Terdapat cakap-cakap bahawa juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) berminat untuk mendapatkan Allegri manakala Conte dilaporkan akan kembali ke pangkuan Juventus. – AFP











