KUALA LUMPUR 7 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan terus memberi fokus kepada tugas yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga perairan negara daripada segala ancaman.
Unit Komunikasi Maritim Malaysia berkata, ia meliputi tugas yang ditetapkan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim meliputi keluasan perairan sehingga 400 batu nautika.
Katanya, Maritim Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2005 menjalankan tanggungjawab seperti termaktub di dalam Akta APMM (Akta 633) iaitu menguatkuasakan semua undang-undang persekutuan serta peraturan-peraturan yang terpakai dari pesisir pantai hingga 200 batu nautika,
“Oleh itu, kita tidak akan memperbesarkan pandangan penulisan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini kerana ianya tidak membantu menyelesaikan pengurusan keselamatan dan kedaulatan perairan sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara.
“Agensi ini berpandangan bahawa penulisan tersebut adalah pandangan individu yang tidak berasas kerana penulisannya gagal membuat penilaian mendalam ke atas pelbagai faktor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Artikel bertajuk ‘Bubar sahaja Maritim Malaysia? yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia turut menggesa kerajaan mengkaji semula agensi itu bagi mengelak berlaku kepincangan pengurusan selain penugasan lebih efisien.
Dalam pada itu Maritim Malaysia berkata, agensi itu akan terus memberikan fokus kepada amanah yang diberikan dan mengalu-alukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan ke atas pegawai-pegawainya sekiranya terdapat aduan mengenai ketirisan dan salah laku seperti yang dinyatakan.
Menurutnya jika terbukti terdapat mana-mana pegawai Maritim Malaysia melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya. – UTUSAN ONLINE











