KUALA LUMPUR 4 Mei – Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr. N. Marimuthu diumumkan sebagai presiden baharu Pertubuhan Pengguna Antarabangsa (Consumers International).
Menerusi laman web pertubuhan tersebut, pemilihan Marimuthu itu diadakan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Pengguna Antarabangsa yang berlangsung di Portugal, minggu lalu.
“Marimuthu menggantikan Presiden lalu, Bart Combee dari Netherlands yang memegang jawatan tersebut sejak 2015.
“Pemilihan yang diadakan empat tahun sekali itu turut memilih Majlis Lembaga dan Penasihat baharu Pengguna Antarabangsa baharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Majlis Pengguna di Hong Kong, Gilly Wong pula dipilih sebagai Naib Presiden Pertubuhan Pengguna Antarabangsa.
Menurut Marimuthu, beliau berbesar hati apabila dipilih memegang jawatan tersebut dan berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan semua pihak bagi menyokong peranan pengguna di seluruh dunia.
“Kita mesti lebih relevan dan berkesan bermula hari ini menerusi jalinan kerjasama dengan pihak berkepentingan melalui advokasi, kempen dan tindakan.
“Matlamat utama adalah menangani teknologi yang memberi pelbagai kesan kepada pengguna, sama ada baik atau sebaliknya,” katanya.
Pertubuhan Pengguna Antarabangsa ditubuhkan pada 1960 dan sebelum ini dikenali sebagai Kesatuan Pertubuhan Pengguna Antarabangsa (IOCU) yang kini dibarisi 200 pertubuhan dari 100 negara sebagai ahli. – UTUSAN ONLINE











