PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya merampas daging babi seberat 18 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2, Sepang dekat sini pada 21 Mei lalu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, rampasan tersebut dibuat ke atas seorang warganegara Filipina ketika pemeriksaan bagasi dilakukan oleh tiga orang pegawai penguatkuasa di laluan antarabangsa.
“Pemeriksaan pada pukul 12 tengah hari itu mendapati seorang warganegara Filipina membawa masuk daging babi walaupun larangan telah dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penyebaran penyakit African Swine Fever (ASF).
“Tujuan larangan pengimportan ini adalah bagi menghalang risiko kemasukan penyakit ASF ke dalam negara,” katanya di sini semalam.
Jabatan itu berkata, dianggarkan sebanyak 475 kg daging babi dan 688 kg produk babi berjaya dirampas di KLIA dan KLIA 2 dari bulan Mac sehingga kini.
“Berdasarkan rekod rampasan daging dan produk babi didapati kebanyakannya dibawa oleh penumpang dari China, Filipina dan Vietnam.
“Daging dan produk babi yang dijumpai akan disita dan dimusnahkan mengikut prosedur yang telah ditetapkan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit ASF dapat dicegah,” katanya.
Sementara itu, Maqis berkata, antara produk berisiko dalam penularan virus ASF termasuklah babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku dan daging babi proses seperti sosej serta babi salai.
“Selain larangan pengimportan, kemasukan daging dan produk babi yang dibawa oleh penumpang di laluan udara juga adalah dilarang,” katanya.
Maqis berkata, perbuatan mengimport tanpa permit sah daripada jabatan itu adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum dibawah seksyen 11 (3), akta sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam pada itu, Maqis sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran
pertanian, tanih dan mikroorganisma yang diimport ke dalam negara bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.
“Ini bagi tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan,” katanya. – K! ONLINE











