KUALA LUMPUR 16 Mei – Sepucuk surat pengesahan PBB berhubung keputusan kerajaan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hari ini tular dalam media sosial.
Surat bertarikh 15 Mei itu mengesahkan kerajaan Malaysia secara rasmi menarik diri daripada Statut Rom yang berkuat kuasa bermula 29 April 2019.
PBB menerusi surat tersebut juga memaklumkan, pihaknya telah menerima surat dari Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Antara isi kandungan surat tersebut:
“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menarik balik Instrumen Arahan daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 5 April 2019.
“Oleh itu, Malaysia membatalkan semula surat penyertaannya dan penarikan ini akan berkuat kuasa serta-merta. Meskipun demikian, Malaysia tetap komited terhadap kedaulatan undang-undang untuk mengadili pesalah dalam pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan, jenayah perang; dan jenayah pencerobohan.
“Ini adalah sejajar dengan dasar kerajaan baharu untuk berpegang kepada prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan tanggungjawab,” katanya. – UTUSAN ONLINE











