Malaysia perlu ratifikasi Konvensyen 155 dan 170 ILO - Utusan Malaysia

Malaysia perlu ratifikasi Konvensyen 155 dan 170 ILO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG 4 Mei – Terdapat keperluan untuk Malaysia meratifikasi Konvensyen 155 dan 170 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang dianggap sebagai standard asas untuk memelihara kesihatan dan keselamatan semua pekerja serta memastikan pengurusan kimia serta tempat kerja yang selamat.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Konvensyen ILO 155 meliputi aspek kesihatan dan keselamatan pekerjaan (KKP) manakala Konvensyen ILO 170 dapat membantu melindungi pekerja daripada kesan bahan kimia berbahaya selain melindungi orang ramai dan alam sekitar.

“Ciri penting Konvensyen ILO 155 adalah ia terpakai kepada semua pekerja di setiap cabang aktiviti ekonomi. Oleh itu, ratifikasi konvesyen tersebut amat penting untuk memastikan kerajaan bertanggungjawab daripada segi undang-undang untuk melindungi hak KKP semua pekerja di negara ini,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian dalam program Sesi Tanggungjawab Sosial Korporst (CSR) Respon Tumpahan dan Kebocoran Kimia di TS Hotel, Taman Scientex di sini hari ini.

Program tersebut dianjurkan bersama-sama oleh Akademi Keselamatan dan Penjagaan Kecemasan (ASEC) dan NIOSH.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ASEC, Wong Wee Zhee dan Pengurus Wilayah Selatan NIOSH, Muhammad Zaeem Mokhtar.

Bagi Konvensyen ILO 170 pula, beliau berkata matlamatnya adalah untuk memastikan pekerja mendapat maklumat mencukupi mengenai bahan kimia di tempat kerja mereka agar langkah pencegahan yang bersesuaian dapat diambil.

“Ini juga dapat memastikan mereka menyertai program perlindungan yang berkesan dan pada masa yang sama, program berkaitan dapat dibangunkan bagi memastikan bahan kimia digunakan dengan selamat,” katanya lagi.

Sehingga kini, Lam Thy berkata, hanya beberapa negara di Asia telah meratifikasi Konvensyen ILO 155 seperti China, Korea, Mongolia, Australia, Fiji dan Kazakhstan manakala negara Asia Tenggara langsung tidak terlibat.

Pada masa yang sama, beliau berkata, hanya 21 negara telah meratifikasi Konvensyen ILO 170 termasuk China dan Korea Selatan.

“Masyarakat antarabangsa telah lama mengiktiraf kesihatan sebagai hak asasi manusia. Sudah tiba masanya aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja diakui sebagai hak asas kerana lebih tiga juta pekerja mati akibat kemalangan pekerjaan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan setiap tahun,” katanya. .

Sempena sambutan Hari Pekerja baru-baru ini, Lee berharap kerajaan akan meratifikasi Konvensyen ILO 155 dan 170 sebagai sebahagian daripada kewajipannya untuk memastikan tempat kerja yang selamat, sihat dan bebas bahaya di peringkat kebangsaan.

Lee juga menggesa syarikat-syarikat kimia untuk mengawal selia dan memainkan peranan mereka dengan lebih baik bagi memastikan keselamatan tempat kerja, kesihatan pekerja dan masyarakat sekeliling terjamin.

Beliau berkata mereka mesti menyokong inisiatif Responsible Care (Penjagaan Bertanggungjawab) yang telah diterima pakai oleh Malaysia sejak 1994 dan diterajui oleh Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini