Lombok kini hab baharu AirAsia ke Australia - Utusan Malaysia

Lombok kini hab baharu AirAsia ke Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOMBOK 2 Mei – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) melancarkan hab baharu mereka di Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang juga hab kelima di republik tersebut.

Hab baharu selepas Jakarta, Surabaya, Medan dan Bali itu merupakan sebahagian usaha AirAsia menyokong pemba­ngunan dan mempromosikan pelancongan Lombok sebagai satu daripada ‘10 Bali Baharu’.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan berkata, pihaknya berbesar hati dapat melancarkan hab baharu di Lombok yang disifatkan sebagai destinasi kaya dengan tarikan pelancong dan destinasi yang dekat de­ngan hati orang ramai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini sejarah baharu, bukan sahaja kepada AirAsia tetapi juga kepada Nusa Tenggara Barat dan Lombok. Pemilihan Lombok ini tidak sebarangan dan ia melihat kepada potensi yang luar biasa daerah Lombok terutama dalam sektor pelancongan.

“Pengumuman hari ini bukan sahaja memperkukuh jaringan hubungan domestik dan antarabangsa, tetapi juga menghasilkan peluang pekerjaan tempatan, merangsang pertumbuhan sektor pelanco­ngan dan menyumbang terhadap kepentingan ekonomi pengunjung untuk Lombok,” katanya. 
 Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pe­rasmian hab AirAsia terbaharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok, di sini hari ini. Yang turut hadir, Gabenor Nusa Tenggara Barat, Zulkieflimansyah dan Pegawai Khas Menteri Pelancongan Indonesia, Judi Rifajantoro.

Menerusi hab baharu tersebut, pesawat Airbus A320 Air­Asia akan beroperasi bagi laluan Lombok ke Perth, Australia bermula 9 Jun nanti selain menghubungkan juga destinasi domestik seperti Jakarta, Yogyakarta dan Bali.

Sementara itu, tambah Dendy sempena pembukaan hab baharu itu, AirAsia turut memperkenalkan rekaan luar pesawat khas yang menyokong promosi pelancongan Lombok.

“Rekaan luaran tersebut memaparkan ikon pelancongan ternama tempatan Lombok seperti Gunung Rinjani dan keindahan dasar lautan di kepulauan Gili yang terletak di tenggara Lombok.

“AirAsia juga akan melancarkan beberapa inisiatif tambahan daripada usaha berterusan Yayasan AirAsia yang bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk membangunkan pusat perlindungan sementara dan kawasan perumahan di Lombok selepas gempa bumi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, AirAsia kekal sebagai syarikat penerbangan terbesar yang membawa pelancong antarabangsa ke Indonesia.

“Berdasarkan data Kementerian Pelancongan Indonesia, AirAsia membawa 3.2 juta pelancong antarabangsa ke negara ini pada 2018 atau 25 peratus daripada 12.8 juta pengunjung ke Indonesia,” katanya.

//habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini